Tuesday, November 05, 2013

Salam Awal Muharam, 1435H: Jalan Menuju Cinta Allah


Cinta Allah sumber segala cinta. Jika kita memiliki cinta Allah, beerti kita memiliki segala-galanya. Ini kerana Allah Pencipta dan Pemilik segalanya. Apabila Allah cintakan seseorang, Allah akan sentiasa bersamanya. Ketika itu hamba yang miskin akan berasa kaya, yang hina akan berasa mulia, yang jahil akan berasa berilmu, yang lemah akan berasa kuat, dan yang sedih akan berasa bahagia. Jika kita inginkan kasih sayang, Allah bersifat al-Rahman dan al-Rahim. Jika kita inginkan keadilan, Allah Maha Adil. Sebutlah apa sahaja yang kita inginkan, Allah punya segalanya. Pada cinta Allah lah adanya segala kekayaan, keadilan, kekuatan, kemaafan, dan lain-lain yang sangat kita inginkan dalam kehidupan.

Imam Ghazali menegaskan: "Jika Allah bersamamu, maka jangan takut pada sesiapa pun, akan tetapi jika Allah sudah tidak lagi bersamamu, maka siapa lagi yang boleh diharapkan olehmu?" 

Allah berfirman: "Siapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku mengumumkan perang terhadapnya daripada-Ku. Tidak ada yang paling Aku cintai daripada seorang hamba kecuali beribadah kepada-Ku dengan sesuatu yang telah Aku wajibkan kepadanya. Adapun jika hamba-Ku selalu melaksanakan perbuatan Sunat, nescaya Aku akan mencintainya. "Jika Aku telah mencintainya, maka Aku menjadi pendengarnya yang dia mendengar dengannya, Aku menjadi penglihatan yang dia melihat dengannya, menjadi tangan yang dia memikul dengannya, menjadi kaki yang dia berjalan dengannya".
"Jika dia memohon kepada-Ku, nescaya akan Aku berikan dan jika dia meminta ampun kepada-Ku, nescaya akan Aku ampuni, dan jika dia minta perlindungan kepada-Ku nescaya akan Aku lindungi". (Riwayat al-Bukhari)

Cinta Allah wajib dimiliki oleh setiap manusia demi kebaikan dunia dan akhirat. Cinta Allah sangat berharga dan cara untuk mendapatkannya adalah sangat sukar. Sudah menjadi Sunnatullah, sesuatu yang berharga pasti sukar untuk mendapatkannya. Sukarnya untuk mendapat cinta Allah kerana ia terpaksa melalui pengorbanan. Cinta dan pengorbanan tidak dapat dipisahkan. Bagi orang mukmin, berkorban satu kewajipan. Berkorban itu wajib kerana wajibnya kita mendapat cinta Allah. Seorang mukmin akan sanggup kehilangan sesuatu yang kurang berharga untuk mendapat sesuatu yang lebih berharga. Dia akan rela mengorbankan sesuatu yang kurang penting untuk mendapat sesuatu yang lebih penting. Orang Mukmin akan sanggup mengorbankan kenikmatan dunia yang sementara dan sedikit ini untuk mendapat kenikmatan akhirat yang lebih baik dan kekal. Mereka sanggup mengorbankan cinta makhluk yang tidak kekal dan rapuh demi meraih cinta Allah yang abadi dan teguh. Sesungguhnya cinta itu buta. Buta kepada sebarang kesusahan semasa melakukan pengorbanan demi mendapat cinta kekasihnya. Kata hukama: "Cinta tidak pernah berkata tidak". Maka begitulah cinta orang yang beriman, tidak pernah berkata tidak pada kehendak kecintaannya (Allah).

Firman Allah: "Tidak ada ucapan orang Mukmin itu apabila diajak kepada Allah dan Rasulnya agar menghukum dalam kalangan mereka itu melainkan mereka berkata-kata kami dengar dan kami patuh". (Surah al-Nur [24] ayat: 51)

Bagi orang Mukmin, kemuncak cinta Allah ialah bertemu dengan Allah. Pertemuan dengan Allah akan berlaku di dalam Syurga. Oleh itu, orang Mukmin berlumba-lumba untuk berkorban demi ditempatkan di dalam Syurga. 

Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah: "Sesungguhnya, Allah telah membeli daripada orang Mukmin diri, harta mereka dengan memberikan syurga kepada mereka". (Surah al-Tawbah (9) ayat: 111)


Sumber:
 Pahrol Mohamad Juoi, Cinta itu Berkorban, 
Majalah Solusi, Isu No.60, Mukasurat.16

No comments: